Syndicate

Who's Online

We have 5 guests online
Pujuk Jeffrey Dengan Jawatan: UNTUNG JANGKA PENDEK, RUGI JANGKA PANJANG PDF Print E-mail
Saturday, 19 December 2009

Jika benar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memecahkan kemelut politik PKR Sabah dengan melantik Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang meletakkan jawatan Naib Presiden PKR Oktober lepas, sebagai Ketua Perhubungan parti untuk Sabah dan Sarawak, beliau sebenarnya memberikan isyarat yang salah kepada keseluruhan kepimpinan parti itu.

Tidak dapat tidak, langkah seperti itu mempunyai kesan jangka panjang yang tidak menguntungkan parti, jika benar ia diambil.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Anwar berharap dengan perlantikan itu dapat memujuk Dr Jeffrey dan penyokongnya dan mengelakkan perpecahan dalam parti.

Minggu lalu The Malaysian Insider memetik Jeffrey melaporkan PKR telah menolak hasrat beliau untuk melepaskan jawatan naib presiden.

Sumber memberitahu Bernama bahawa Anwar dijangka membuat pengumuman khas berhubung pelantikan itu pada pelancaran konvensyen parti negeri di  Kota Kinabalu Ahad ini.

Sebelum ini, khabar angin menyatakan Dr Jeffrey dijangka menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) diketuai abangnya Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berikutan peletakan jawatannya sebagai bekas Naib Presiden PKR.

Jeffrey, yang sebelum ini anggota Dewan Undangan Negeri Bingkor, juga dikaitkan cuba menubuhkan parti baru dipanggil Parti Cinta Sabah (PCS) yang mana beliau kemudiannya menafikan turut sama terbabit. Beberapa ketua bahagian yang bersetuju dengan Dr Jeffrey dipercayai memulakan usaha menubuhkan parti baru berpangkalan di negeri itu.

Dipercayai ramai ketua bahagian parti PKR termasuk Dr Jeffrey sendiri kecewa dengan keputusan yang dibuat Anwar untuk melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua PKR yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin anak jati Sabah, dinamakan sebagai Pengerusi PKR negeri baru-baru ini selepas sekumpulan ketua-ketua bahagian melahirkan rasa tidak percaya terhadap Naib Presiden PKR Azmin Ali menerajui PKR negeri.

Pelantikan itu dikatakan hanya bersifat sementara memandangkan pemilihan parti pada peringkat negeri berkemungkinan dibuat tahun depan.

Dipercayai kepimpinan PKR juga menolak hasrat bekas timbalan pengerusi PKR Sabah Christina Liew untuk melepaskan jawatannya sebagai anggota Majlis Tertinggi.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya pada 28 Okt lepas, Liew berkata beliau kekal sebagai anggota parti dan masih memegang jawatan Ketua Bahagian Kota Kinabalu.

Sekiranya benar Dr Jeffrey dilantik ke jawatan yang lebih tinggi, iaitu menerajui dua negeri hanya kerana rajuknya tempoh hari, apakah ada jaminan pemimpin lain selepas beliau tidak akan menggunakan rajuk sebagai jalan untuk mendapat kedudukan yang lebih baik dalam parti?

Di dalam politik, di Malaysia atau di mana sahaja, memujuk dengan memberikan jawatan selalunya cuma menjadi penyelesai jangka pendek yang membuka laluan kepada lebih banyak masalah jangka panjang.

Comments (0)add
Write comment

busy
 
< Prev   Next >


     
         
     
         
     
         
         

Waktu Solat

[ Tukar Kawasan ]
Tutup