Syndicate

Who's Online

We have 17 guests online
BALASUBRAMANIAM DAKWA TAK BACA PENGAKUAN BERKANUN YANG KEDUA PDF Print E-mail
Tuesday, 17 November 2009

Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam ‘muncul’ untuk kali keduanya bulan ini, dan kali ini dengan dakwaan dia membuat Pengakuan Berkanun keduanya yang kontroversi itu kerana keluarganya terancam.

Bala juga mendakwa pada hari yang sama selepas menandatangi Pengakuan Berkanun yang kedua itu, dia terus ke Singapura dan dari sana berangkat pula ke Bangkok.

Penyiasat persendirian itu turut mendakwa dia menandatangani Pengakuan Berkanun kedua itu tanpa membaca kandungannya.

Bala, yang menghilangkan diri sejak 16 bulan lalu, membuat dakwaan-dakwaan itu dalam wawancara dengan portal Malaysia-Today.net.

Dakwaan lain yang dibuat oleh Bala ialah dia diberikan wang dalam matawang Hong Kong bernilai RM20,000 untuk perbelanjaan dia dan keluarganya, kerana pada mulanya mereka dicadangkan pergi ke Hong Kong. Bagaimanapun rancangan itu diubah dan destinasinya dialihkan ke Chennai, India.

Menurut Bala, peniaga permaidani bernama Deepak – yang didedahkan dalam klip video pengakuannya di portal yang sama minggu lalu – meminta dia menarik balik Pengakuan Berkanun yang pertama dan kemudian meninggalkan negara ini bersama keluarga.

“Saya dalam keadaan terkejut atas apa yang berlaku. Saya menjangkakan yang saya akan ditahan dan disoal siasat selepas Pengakuan Berkanun yang pertama, tetapi tidak menyangka keluarga saya akan turut diancam. Saya tidak bersedia untuk itu,” kata Bala semasa menjawab satu soalan dalam wawancara tersebut.

Bala kemudian menceritakan bagaimana dia pulang ke rumah dan memberitahu isterinya yang mereka akan segera meninggalkan Malaysia. Dia juga meminta isterinya memohon pasport untuk anak-anak mereka dan memperbaharui pasportnya sendiri.

Setelah itu, penyiasat persendirian itu mendakwa dia meminta isterinya membawa bersama beg-beg mereka bagi membolehkan mereka berangkat sebaik sahaja pasport disiapkan.

Dalam wawancara yang sama, Bala turut menceritakan bagaimana dia kemudian mengikut seorang kawannya ke Hotel Hilton KL untuk bertemu Deepak dan saudara lelaki ahli perniagaan itu yang bernama Dinesh. Di situ dia memberitahu mereka yang dia lebih suka pergi ke Chennai daripada ke Hong Kong.

“Deepak bersetuju dan cuba mengaturkan sebuah jet persendirian untuk kami. Tetapi dia membatalkannya apabila menyedari kami harus melalui urusan imigresen di lapangan terbang.”

“Deepak kemudian mencadangkan kami menggunakan jalan darat ke Singapura dan dari sana terbang ke Bangkok dan seterusnya ke Chennai,” dakwa Bala lagi.

Mengenai Pengakuan Berkanunnya yang kedua, Bala mendakwa pada pukul 7.45 pagi 3 Julai, seseorang menghantar draf pengakuan itu ke hotel dan ia diambil oleh Deepak.

Dakwanya, dia kemudian disuruh menandatangi pengakuan itu di hadapan seorang lelaki Melayu yang dikatakan seorang pesuruhjaya sumpah, tanpa diberi peluang membaca kandungannya. Setelah selesai urusan itu, Deepak meninggalkan mereka dalam kereta yang berasingan.

Menurut Bala, selepas itu dia dan Dinesh pergi ke Hotel Prince di Kuala Lumpur, di mana mereka sekali lagi berjumpa Deepak, yang memperkenalkannya kepada seorang peguam, ‘Mr. Arunampalam’.

“Peguam itu memberitahu saya supaya hanya berdiam diri dalam sidang media yang telah diatur untuk kami di lobi utama. Dia meminta saya jangan bercakap dengan mana-mana pemberita dalam apa keadaan pun dan hanya dia yang akan bercakap.”

Deepak pula, dakwa Bala, mengarahkan Arunampalam menjawab tidak lebih tiga soalan daripada pemberita yang sedang menunggu dan menyerahkan beberapa salinan pengakuan yang kedua itu untuk diagih-agikan.

“Saya dan Arunampalam kemudian menggunakan lif untuk turun ke lobi utama, di mana kami bertemu empat atau lima pemberita. Arunampalam bercakap dengan mereka dan memberikan salinan pengakuan yang kedua itu. Dia juga memberitahu pemberita saya dipaksa menandatangani pengakuan yang pertama dan sekarang mahu menarik balik kandungannya.”

Dari situ, menurut Bala, dia dan Arunampalam balik ke Hilton KL dan selepas itu tidak pernah berjumpa dengan peguam itu lagi.

Dalam dakwaan seterusnya, Bala memberitahu semasa meninggalkan Malaysia untuk ke Singapura, pasport keluarganya diperiksa tetapi tiada satu pun yang dicop.

Di Singapura, dia dan keluarganya terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebelum berlepas ke Bangkok dengan penerbangan Silkair pada pukul 8 malam itu.

Comments (0)add
Write comment

busy
Dikemaskini pada ( Wednesday, 18 November 2009 )
 
< Prev   Next >


     
         
     
         
     
         
         

Waktu Solat

[ Tukar Kawasan ]
Tutup