| PEMUDA UMNO: HENTIKAN PERANGAI 'TUMPANG SEMANGKUK' |
|
|
|
| Tuesday, 17 November 2009 | |
|
Sesiapa pun yang cerdik sedikit politiknya akan tersenyum melihat kesungguhan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mendesak SPRM menyegerakan siasatan ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, yang juga CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Ahad lalu, anak-anak muda UMNO Kelantan yang diketuai Anuar Sapian itu menyerahkan memorandum mengandungi desakan tersebut kepada Penolong Pengarah SPRM Kelantan, Muhamad Hafiz Hamzah, di Wisma Persekutuan Kota Bharu. Kesungguhan Pemuda UMNO Kelantan untuk ‘tumpang semangkuk’ dalam isu ini boleh difahami. Memang ini antara peluang terbaik untuk mereka menunjukkan hebat dan garang. Tetapi, setakat manakah tindakan mereka itu mampu membantu menaikkan nama UMNO di mata umum, khususnya di kalangan rakyat Kelantan yang bukan penyokong UMNO? Rasa-rasanya tidak ada. Ia sekadar tindakan syok sendiri, yang akan berakhir dengan puji-pujian sesama sendiri juga. Bagi khalayak yang boleh berfikir, mereka akan tertanya-tanya di mana Pemuda UMNO sebelum ini? Sepatutnya, jika Pemuda UMNO Kelantan mempunyai iltizam yang kuat untuk melihat parti yang mereka dokong mampu memancangkan semula kuasanya di Kelantan, mereka harus bekerja keras membongkar segala kepincangan di negeri itu – jika ada. Sepatutnya Pemuda UMNOlah yang mengatur strategi mendedahkan cacat-cela Nik Aziz, termasuk kesediaannya menerima tajaan mengerjakan haji bersama keluarga. Sepatutnya Pemuda UMNOlah yang menelanjangi segala kebobrokan Ariffahmi sekiranya benar menantu Nik Aziz itu melakukan perkara-perkara yang menyalahi peraturan dan norma perkhidmatan. Ini tidak. Pihak lain yang membongkar semua itu, dan Pemuda UMNO hanya muncul menjuarainya secara tiba-tiba tanpa berasa segan dan silu sedikit pun. Mereka tidak langsung berasa ‘tertampar’ kerana membiarkan pihak lain mendedahkan pekung yang ada di depan mata mereka sendiri. Dan tanpa malu juga mereka menumpang sekaki untuk mendapat nama. Pemuda UMNO Kelantan, atau di mana-mana sahaja patut membuang sikap ini jika mereka ikhlas mahu melihat UMNO dihormati. Mereka sepatutnya menjadi juara, bukannya menjadi ‘joker’.Yang sangat perlu mereka lakukan ialah mengatur gerakan, menyusun strategi dan bekerja keras mendedahkan kelemahan-kelemahan lawan, di samping memperkasakan diri sendiri. Tidak cukup kalau setakat membuat kenyataan dan mengusung memorandum. Semua itu kerja mudah. Budak-budak sekolah pun boleh buat.
Oleh: OrangTuaUMNO
Set as favorite
Bookmark
Email This
Hits: 447 Comments
(0)
|
|
| Dikemaskini pada ( Tuesday, 17 November 2009 ) |
| < Prev | Next > |
|---|





