UMNO DAN SAKI-BAKI MENTALITI BASINYA PDF Print E-mail
Monday, 16 November 2009

 Riuh sikit jadinya UMNO Selangor apabila timbul cerita Tan Sri Muhammad Muhd Taib memuji kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Dakwaan mengenai pujian Muhammad itu dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim semasa membuat ucapan penggulan di konvensyen PKR Selangor, di Shah Alam.

Kata Khalid, dalam pertemuan dengan Muhammad, veteran UMNO yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor itu mengakui, ada perubahan di bawah kepimpinan Khalid sehingga menyukarkan UMNO merampas semula negeri itu.

Muhammad juga, tambah Khalid, mahu bekerjasama dengannya ‘untuk membangunkan rakyat dan ekonomi rakyat luar bandar.’

Maka meletuplah Ketua Penerangan UMNO Selangor, Shukor Idrus terhadap kenyataan itu.

Kata Shukor, UMNO Selangor akan mendapatkan penjelasan dari Muhammad mengenai perkara itu.

Shukor juga tidak yakin Muhammad, yang menurutnya sangat setia dengan parti sanggup bersekongkol dengan Pakatan Rakyat di Selangor.

Menurut Shukor, kali terakhir beliau bertemu dengan Muhammad pada majlis sambutan Aidilfitri lalu tetapi perkara itu tidak langsung ditimbulkan padanya.

Malang sungguh UMNO kerana masih mempunyai pemimpin seperti Shukor ini.

Kalau betul pun, Muhammad memuji Pakatan Rakyat, apa masalahnya, asalkan pujian itu memang mempunyai asas dan kebenaran. Adakah disebabkan itu kesetiaannya kepada UMNO boleh dipersoalkan?

Begitu juga kalau Muhammad sedia bekerjasama dengan Pakatan Rakyat demi faedah rakyat Selangor, apa masalahnya? Adakah disebabkan itu dia harus dianggap mengkhianati partinya sendiri?

Adakah kerana Pakatan Rakyat itu musuh Barisan Nasional, maka apa yang dilakukan oleh pakatan tersebut harus dipandang buruk, walaupun perkara itu sebenarnya baik?

Adakah kerana itu juga, kepentingan rakyat Selangor harus diletak di tepi?

Cara berfikir seperti yang dipamerkan oleh Shukor inilah sebenarnya menjauhkan UMNO daripada rakyat. Pemimpin-pemimpin UMNO, sebahagiannya masih terbawa-bawa dengan stail berpolitik zaman batu. Mereka  masih diserkupi mentaliti basi. Mereka cuba menutup kebenaran hanya kerana sentimen kepartian yang mengatasi segala-galanya.

Tetapi yang peliknya, di negeri-negeri yang diperintah oleh BN, pandai pula pemimpin-pemimpin UMNO merayu sokongan dan kerjasama daripada pembangkang. Pandai pula mereka merungut apabila pembangkang tidak memuji, apa lagi mengecam sesuatu kebaikan yang mereka lakukan. Pandai jugalah mereka menuduh pembangkang menutup mata terhadap kebaikan semata-mata kerana politik.

Namun mereka sendiri sebenarnya bukan setakat dua kali lima, tetapi lebih teruk.

Comments (0)add
Write comment

busy
Dikemaskini pada ( Monday, 16 November 2009 )
 
< Prev   Next >


     
         
     
         
     
         
         

Waktu Solat

[ Tukar Kawasan ]
Tutup