Syndicate

Who's Online

We have 11 guests online
KECOH DI PMBK: SIAPA KENAKAN SIAPA? PDF Print E-mail
Friday, 13 November 2009

Jangan percaya apa yang akan ditulis ini.

Apabila membacanya, anggap sahaja seperti sedang mendengar cakap-cakap kosong di kedai kopi, di lobi-lobi atau di café-café.

Sememangnya pun, apa yang ditulis ini adalah apa yang dikutip dari beberapa tempat seperti itu. Jadi, sebagaimana tiada istimewanya cakap-cakap yang berlegar di situ, begitu juga dengan tulisan ini. Tiada istimewanya.

Kalau apa yang ditulis ini betul, ia sekadar kebetulan.

Kalau salah pula, hendaknya ia tidaklah dianggap satu kesalahan.

Semalam, riuh di mana-mana dengan kisah pemecatan serta-merta blogger Kickdefella dari jawatannya sebagai pegawai perhubungan awam di perbadanan menteri besar Kelantan.

Dan ia menjadi lebih riuh apabila blogger itu nekad untuk mendedahkan kepincangan-kepincangan dalam PMBK yang diterajui oleh Mohd Ariffahmi Abd Rahman, menantu Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Pada masa ini SPRM memang sedang menyiasat PMBK, dan Ariffahmi dikatakan antara sasarannya.

Dipercayai pemecatan mengejut Kickdefella ada kaitan dengan penyiasatan itu. Nik Aziz sendiri ada menyebut siasatan SPRM ke atas PMBK ada kaitan dengan kerja orang dalam dan blog. Dipercayai juga, sasarannya adalah Kickdefella.

Blogger itu sudah pun membuat penafiannya yang dia menjadi penyalur maklumat kepada SPRM atau tali barut BN. Malah katanya, dia telah pun melafazkan sumpah di depan Nik Aziz.

Daripada semua ini, timbullah macam-macam cakap.

Antara yang berbunyi ialah tentang adanya ‘tangan lain’ di belakang semua kejadian ini. Konspirasilah tu.

Antara yang mula menjadi sasaran pula ialah Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Wujud dakwaan Husamlah yang membawa Kickdefella ke Kelantan. Husam dikatakan menjadi abang angkat, bapa angkat dan segala angkat Kickdefella di Kelantan. Dikatakan juga dialah yang mengusahakan tempat di PMBK kepada blogger itu.

Kemudian timbullah pula cakap-cakap kenapa Husam ambil ‘budak UMNO’ untuk bekerja dengan kerajaan PAS. Kickdefella dahulunya dikatakan blogger UMNO, atau setidak-tidaknya condong pada UMNO. Malah ada yang kata dia bekas ketua pemuda cawangan. Macam-macam cerita.

Husam kononnya ada agenda, sebab itu dia bawa Kickdefella ke Kelantan.

Sekarang agenda itu mula tercapai. Kelantan dah mula kalut gara-gara isu ‘menantu Nik Aziz kena siasat’. Sebelum itu Nik Aziz sendiri turut ‘dikecohkan’ dengan bermacam-macam isu di dalam PAS, sehingga mendorong Mursyidul Am PAS itu mengusulkan parti mengadakan EGM.

Kemudian dikaitkanlah pula Husam itu dengan ‘penasihat-penasihat jahat ayahanda’ yang pernah ditulis oleh anak Nik Aziz, Nik Abduh di blognya suatu masa dahulu.

Juga dengan pertentangan pendapat yang ‘jelas tetapi tidak ketara’ antara Nik Aziz dan Husam dalam isu wang ihsan. Nik Aziz kata terima, walaupun tidak berpuas hati. Husam pula berkeras enggan menerimanya dan bercadang hendak meminta nasihat perundangan untuk membatalkan perjanjian dengan kerajaan pusat berhubung carigali minyak. Nada Husam hanya berubah sehari dua kebelakangan apabila kerasnya bertukar menjadi lembut.

Andaian adalah sebahagian daripada roh politik.

Dan andaianya sekarang ialah Husam tidak dapat bersabar lagi untuk mencapai cita-citanya; menjadi Presiden PAS dan menjadi orang nombor satu di Kelantan.

Beberapa perkembangan mutakhir dalam PAS tidak memungkinkan dia mencapai cita-cita pertamanya dalam tempoh yang terdekat. Dia kalah bertanding Timbalan Presiden. Dia juga terpaksa akur pengaruh Haji Hadi dan kumpulan yang diwakilinya masih kuat walaupun bermacam cerita buruk, terutama mengenai kerajaan perpaduan, disebarkan. Seminar politik PAS 7 November lalu mengesahkannya. Suara yang membela dan menyokong Hadi masih lantang kedengaran.

Untuk mencapai cita-cita yang satu lagi pun susah juga. Nik Aziz bukan calang-calang. Dia telah menjadi ikon, bukan sahaja kepada PAS tetapi juga rakyat Kelantan. Satu-satunya peluang untuk menggantikan Nik Aziz, selain faktor ajal maut, ialah mengharapkan orang tua itu berundur. Tetapi sehingga hari ini Nik Aziz tidak menampakkan tanda-tanda untuk berbuat demikian. Malah semangatnya untuk terus memegang jawatan masih sangat kental.

Sesuatu perlu dilakukan.

Dan orang-orang yang jahat mulut itu pun berkata, sekarang ini bukan sahaja sesuatu, tetapi macam-macam telah dilakukan oleh orang-orang yang mahu melihat teraju negeri Kelantan beralih tangan. Bulan-bulan terakhir ini menyaksikan Nik Aziz begitu diasak dan ‘ditekan’, diheret dan ditolak ke dalam kancah berbagai-bagai isu. Pada masa yang sama keadaan kesihatan juga tidak begitu memihak kepada mursyidul am yang satu itu.

Satu daripada tekanan besar yang terpaksa dilalui oleh Nik Aziz ialah kes Ariffahmi. Sebagai seorang yang mementingkan moral Nik Aziz tentu tidak selesa apabila cerita-cerita mengenai menantunya berlegar di mulut oang. Malas menghadapi keadaan itu nanti, dia mungkin melepaskan jawatan.

Dan kalau kerusi Menteri Besar itu kosong, tidak kira siapa pun yang dilantik untuk mendudukinya, orang itu tetap ‘makanan’ Husam Musa.

Itu satu cerita.

Bagaimana pula kalau Husam yang sebenarnya menjadi mangsa, dan ada orang lain yang nak kenakan dia?

Itulah cakap-cakap dan kata-kata mereka, yang saya kutip daripada merata-rata.

Tetapi sekali lagi saya minta, jangan percaya. Baca dan anggaplah ia tak lebih daripada sebuah fiksyen politik yang penghujungnya entah di mana.

Comments (0)add
Write comment

busy
 
< Prev   Next >


     
         
     
         
     
         
         

Waktu Solat

[ Tukar Kawasan ]
Tutup